Artikel Menarik

Wednesday, July 29, 2015

Salah Guna Media Sosial : Sumber Tidak Sahih Yang Tiada Penghujungnya

Pada zaman era globalisasi kini, perkembangan media massa khususnya media sosial tumbuh dengan pesat umpama derasnya air mengalir sejajar dengan perkembangan semasa.

Tidak dapat dinafikan, adanya media sosial ini dapat menghubungkan kita dengan isu-isu semasa dengan lebih cepat dan efisyen. Bagaimanapun, medium ini juga boleh memberikan impak negatif jika cara penggunaannya tidak dipraktikkan dengan betul.

Kewujudan ‘keyboard warrior’ yang lebih gemar menaip tanpa memikirkan fakta yang betul secara tidak langsung memberikan kesan yang negatif berbanding positif. Masing-masing ingin menjadi ‘first hand’ di dalam menyampaikan maklumat.

Mereka ini semakin berani dalam menghujahkan pendapat yang tidak berasas, namun ia tidak terhenti begitu sahaja kerana isu yang mereka utarakan biarpun dekat dengan jiwa rakyat namun kesahihannya tidak dapat dibuktikan. 

Penyaluran maklumat yang tidak sahih boleh mengakibatkan perpecahan di antara individu dan seterusnya menyebabkan perbalahan yang tiada penghujungnya dalam masyarakat.

Malah lebih teruk keamanan negara juga menjadi galang ganti. Wujud perasaan saling benci-membenci. Akhirnya ekonomi negara juga terjejas dan rakyat sendiri yang akan menanggung impak tersebut.

Biarpun telah dinyatakan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyalurkan maklumat tidak sahih, namun mereka ini seakan tidak gentar, masih sahaja enggan beralah dan meneruskan kegiatan yang tidak berasas itu.

Seperti isu yang timbul baru-baru ini, insiden rusuhan di Plaza Low Yat yang boleh mengakibatkan perbalahan antara kaum yang berpunca daripada maklumat palsu yang diviralkan di media sosial. Insiden seperti ini secara tidak langsung boleh mengakibatkan perpecahan antara kaum dan tidak mustahil peristiwa 13 Mei yang lalu akan berulang lagi jika keadaan seperti ini berterusan.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga insiden-insiden yang perlu dijadikan iktibar berpunca daripada penyebaran maklumat yang tidak sahih.

Sebagai contoh, isu artikel terbitan Harakah yang berbaur fitnah dan tidak berasas apabila akhbar tersebut menerbitkan sebuah artikel mendakwa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menjual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel. Maklumat tidak sahih yang disalurkan telah menyebabkan nama Felda tercemar.

Terbukti perkara ini adalah fitnah apabila Felda menang saman ke atas tabloid tersebut. Hasilnya, pada 30 April 2014 lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah dan empat yang lain membayar ganti rugi RM100,000 kepada Felda oleh kerana Felda berjaya membuktikan fakta tidak pernah menjual MSM kepada Israel.

Bukan itu saja, penyebaran spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas juga antara bukti penyebaran berita tidak sahih.

Ia secara tidak langsung mengguris perasaan ahli keluarga mangsa yang berada di pesawat itu.

Dek kerana ramai yang ingin menjadi ‘wartawan tidak bertauliah’ maka pelbagai versi mula tersebar. Akibatnya, kerajaan juga yang dipersalahkan sedangkan kerajaan sangat komited dalam misi pencarian pesawat itu.

Tambahan pula, dengan dunia yang semakin canggih dan serba pantas ini telah wujudnya “Fake Twitter Generators” yang membolehkan seseorang itu menyamar sebagaimana pemilik akaun.

Ini dapat dilihat sebagaimana pada 2 Julai lalu apabila orang ramai telah dikejutkan dengan tweet palsu yang tersebar di media sosial iaitu berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Penyebaran berita tidak sahih oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada negara malah akan member kesan langsung kepada pelabur yang berminat untuk melabur di sini.

Negara kita yang dihormati dan dipandang sebagai negara contoh sebelum ini boleh tercalar dek hanya kerana berita remeh dan tidak sahih sebegini.

Maka dari itu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan sumber-sumber yang tidak sahih, sebaliknya lebih berwaspada dalam mengenal pasti sumber, bijak membuat penilaian berdasarkan keadaan semasa dan fakta kemudian barulah buat andaian berdasarkan tafsiran yang telah dibuat.

Janganlah pula kita terikut-ikut dengan tindakan segelintir pihak yang lebih suka menangguk di air keruh sebaliknya, kita perlulah menjadi jauhari yang sentiasa mengenal manikamnya agar kesejahteraan terpelihara dan keamanan terus lestari di bumi Malaysia ini.

Sumber - UO

No comments:

Post a Comment

terkini @pemudakemaman.net

UMNO Online